Monday, October 27, 2008

Contoh Emel Berantai Beserta 'Hadis' yang Diragui

Berikut dinyatakan contoh Hadis diragui yang popular semasa awal bulan Ramadan yang saya terima:

Do'a malaikat Jibril menjelang Ramadhan:
"Ya Allah tolong abaikan puasa ummat Muhammad, apabila sebelum memasuki bulan Ramadhan dia tidak melakukan hal-hal yang berikut":

  • Tidak memohon maaf terlebih dahulu kepada kedua orang tuanya (jika masih ada);
  • Tidak bermaafan terlebih dahulu antara suami isteri;
  • Tidak bermaafan terlebih dahulu dengan orang-orang sekitarnya.

Maka Rasulullah s.a.w. pun mengatakan Amiin sebanyak 3 kali. Dapatkah kita bayangkan, yang berdo'a adalah Malaikat dan yang mengaminkan adalah Rasullullah s.a.w. dan para sahabat, dan dilakukan pada hari Jumaat. Oleh itu SAYA TERLEBIH DAHULU MEMOHON MAAF DARI HUJUNG RAMBUT HINGGA HUJUNG KAKI jika saya ada berbuat kesalahan, baik yang tidak disengaja mahupun yang disengaja, semoga kita dapat menjalani ibadah puasa dgn penuh keberkatan.

SELAMAT MENYAMBUT RAMADHAN AL MUBARAK..

Seorang hamba Allah yang prihatin telah menanyakan berkenaan 'hadis' ini kepada pihak yang lebih arif dan ini jawapan beliau:

Ini komen daripada kami tentang hadis tersebut:

Merujuk kepada Hadis di atas yang tersebar melalui email dan internet akhir-akhir ini, saya ingin mengemukakan pandangan kami dari Bahagian Pematuhan Syariah TISB.

Sesungguhnya Hadis tersebut tidak diketahui sumbernya dan diragui kesahihannya. Kesamaran Hadis ini berlaku dalam 3 perkara berikut:

  1. Tiada sumber periwayatan daripada mana-mana ulama' Hadis yang muktabar.
  2. Kandungannya menerangkan bahawa seolah-olah Malaikat Jibril telah menokok-tambah tiga lagi syarat sah puasa iaitu dikehendaki memohon maaf dengan kedua orang tua, suami @ isteri dan masyarakat di sekitar.
  3. Hadis ini baru sahaja muncul pada tahun ini.

Kesimpulannya, Hadis ini sangat diragui kesahihannya dan kebenarannya. Justeru, dinasihatkan kepada semua untuk tidak berpegang dengannya serta tidak menyebarkannya kepada masyarakat selagi tidak diketahui sumbernya. Walaupun berkemungkinan terdapat sedikit kebaikan pada 'hadis' tersebut kerana menyeru supaya kita bermaaf-maafan, namun ia tetap tidak boleh digunakan.

Ingin juga dimaklumkan di sini bahawa setiap Dalil (al-Quran dan Hadis) yang ingin digunakan untuk apa-apa tujuan sekalipun perlulah mempunyai sumber rujukannya. Bahagian Pematuhan Syariah sudi untuk membantu sahabat-sahabat sekalian untuk mencari sumber kepada Dalil yang ingin digunakan. Semoga kita dapat menghindarkan diri dari mendustakan Nabi s.a.w.

Mungkin kita boleh menghayati bersama Sabda Nabi s.a.w.:

Barangsiapa berdusta atasku dengan sengaja, maka ia menempatkan tempat
duduknya di dalam neraka.
(Hadith ini menurut Imam Nawawi diriwayatkan oleh 200 orang sahabat)

Wassalam.

Nurmaezah Omar
Jabatan Pematuhan Syariah

Sekian. Dipanjangkan untuk pedoman semua
Wallahualam...

Surat Berantai / Chain Mail

Hai orang-orang yang beriman, jika datang kepadamu orang fasik membawa suatu berita, maka periksalah dengan teliti agar kamu tidak menimpakan suatu musibah kepada suatu kaum tanpa mengetahui keadaannya yang menyebabkan kamu menyesal atas perbuatanmu itu.

O you who believe! if an evil-doer comes to you with a report, look carefully into it, lest you harm a people in ignorance, then be sorry for what you have done.

(Al-Hujuraat 49 : ayat 6)
Sebelum mewar-warkan sesuatu perkara, seeloknya perkara berkenaan disemak terlebih dahulu. Menyampaikan sesuatu perkara yang belum dipastikan kesahihannya boleh menjurus kepada fitnah. Ini selalunya terjadi apabila kita menerima emel yang menggunakan ayat-ayat Al-Quran atau Hadis kemudian disertai dengan janji bahawa kita akan menerima kebaikan sekian - sekian jika kita mengirimkan emel berkenaan kepada orang lain. Seterusnya jika kita tidak mengendahkan emel berkenaan, kita mungkin akan ditimpa musibah sekian - sekian pula.

Apakah dengan mengirim emel berkenaan kepada orang lain bermakna tanggungjawab kita sudah terlepas? Tanpa sedar, kita mungkin mendapat dosa secara berantai kerana telah menyumbang kepada rantaian emel yang tidak tentu kesahihannya.

Tidak salah menghantar emel yang membawa isi yang benar dan baik tapi, keluarkanlah isi yang berbaur ugutan, syirik dan yang seumpamanya kerana tiada paksaan dalam Islam. Yang penting, kita mestilah ikhlas. Tanamkan niat yang ikhlas dalam diri untuk melakukan sesuatu perkara. Sesungguhnya ikhlas itu sangat sulit dan menjadi rahsia Allah kerana si pemilik niat itu juga tidak pasti adakah beliau benar-benar ikhlas. Serahkan kepada Allah untuk membuat penilaian.

Mudah-mudahan kita di bawah berkat-Nya.

Wikipedia: Surat Berantai
Wikipedia: Chain Letter

Thursday, October 16, 2008

Hanya Selepas Nikah

Blogger templates made by AllBlogTools.com

Back to TOP