Monday, October 27, 2008

Contoh Emel Berantai Beserta 'Hadis' yang Diragui

Berikut dinyatakan contoh Hadis diragui yang popular semasa awal bulan Ramadan yang saya terima:

Do'a malaikat Jibril menjelang Ramadhan:
"Ya Allah tolong abaikan puasa ummat Muhammad, apabila sebelum memasuki bulan Ramadhan dia tidak melakukan hal-hal yang berikut":

  • Tidak memohon maaf terlebih dahulu kepada kedua orang tuanya (jika masih ada);
  • Tidak bermaafan terlebih dahulu antara suami isteri;
  • Tidak bermaafan terlebih dahulu dengan orang-orang sekitarnya.

Maka Rasulullah s.a.w. pun mengatakan Amiin sebanyak 3 kali. Dapatkah kita bayangkan, yang berdo'a adalah Malaikat dan yang mengaminkan adalah Rasullullah s.a.w. dan para sahabat, dan dilakukan pada hari Jumaat. Oleh itu SAYA TERLEBIH DAHULU MEMOHON MAAF DARI HUJUNG RAMBUT HINGGA HUJUNG KAKI jika saya ada berbuat kesalahan, baik yang tidak disengaja mahupun yang disengaja, semoga kita dapat menjalani ibadah puasa dgn penuh keberkatan.

SELAMAT MENYAMBUT RAMADHAN AL MUBARAK..

Seorang hamba Allah yang prihatin telah menanyakan berkenaan 'hadis' ini kepada pihak yang lebih arif dan ini jawapan beliau:

Ini komen daripada kami tentang hadis tersebut:

Merujuk kepada Hadis di atas yang tersebar melalui email dan internet akhir-akhir ini, saya ingin mengemukakan pandangan kami dari Bahagian Pematuhan Syariah TISB.

Sesungguhnya Hadis tersebut tidak diketahui sumbernya dan diragui kesahihannya. Kesamaran Hadis ini berlaku dalam 3 perkara berikut:

  1. Tiada sumber periwayatan daripada mana-mana ulama' Hadis yang muktabar.
  2. Kandungannya menerangkan bahawa seolah-olah Malaikat Jibril telah menokok-tambah tiga lagi syarat sah puasa iaitu dikehendaki memohon maaf dengan kedua orang tua, suami @ isteri dan masyarakat di sekitar.
  3. Hadis ini baru sahaja muncul pada tahun ini.

Kesimpulannya, Hadis ini sangat diragui kesahihannya dan kebenarannya. Justeru, dinasihatkan kepada semua untuk tidak berpegang dengannya serta tidak menyebarkannya kepada masyarakat selagi tidak diketahui sumbernya. Walaupun berkemungkinan terdapat sedikit kebaikan pada 'hadis' tersebut kerana menyeru supaya kita bermaaf-maafan, namun ia tetap tidak boleh digunakan.

Ingin juga dimaklumkan di sini bahawa setiap Dalil (al-Quran dan Hadis) yang ingin digunakan untuk apa-apa tujuan sekalipun perlulah mempunyai sumber rujukannya. Bahagian Pematuhan Syariah sudi untuk membantu sahabat-sahabat sekalian untuk mencari sumber kepada Dalil yang ingin digunakan. Semoga kita dapat menghindarkan diri dari mendustakan Nabi s.a.w.

Mungkin kita boleh menghayati bersama Sabda Nabi s.a.w.:

Barangsiapa berdusta atasku dengan sengaja, maka ia menempatkan tempat
duduknya di dalam neraka.
(Hadith ini menurut Imam Nawawi diriwayatkan oleh 200 orang sahabat)

Wassalam.

Nurmaezah Omar
Jabatan Pematuhan Syariah

Sekian. Dipanjangkan untuk pedoman semua
Wallahualam...

0 comments:

Blogger templates made by AllBlogTools.com

Back to TOP